Monday, June 24, 2013

Persiapan Menjelang Ramadhan


SETIAP daripada kita selalu berharap agar Ramadan tahun ini lebih baik dari sebelumnya. Namun kita sering lupa bahawa kesempurnaan ibadah Ramadan bermula daripada kepandaian kita menggunakan bulan Syaaban.

Syaaban ialah masa yang paling tepat mempersiapkan pelan terbaik untuk meraih ibadah Ramadan yang sempurna. Persiapkanlah mental, set minda (mindset) dan kewangan sejak dari sekarang.

Bagi sesiapa yang perlu berbelanja untuk persiapan raya, lakukanlah pada bulan ini. Jangan sampai melakukannya pada bulan Ramadan. Sebab setiap saat dalam Ramadan terlalu mahal dan berharga untuk digunakan berbelanja barang-barang raya di pasar. Apalagi bagi kaum perempuan yang terpaksa berdesak-desakan dengan kaum lelaki di tengah suasana panas dan penuh dengan bebauan yang tidak sedap.

Oleh itu, apabila berbelanja pakaian, alangkah baiknya jika hukum-hakam fiqh yang berkaitan dengannya selalu berada dalam minda kita. Pastikan baju-baju yang kita beli untuk kita dan anak-anak tidak termasuk dalam kategori yang haram dipakai.

Berikut ini ialah sebahagian prinsip-prinsip hukum dan adab Islami berkaitan dengan pakaian yang mesti diketahui setiap Muslim.

1. Hukum asal

Hukum asal pakaian adalah halal dan harus. Begitu juga perhiasan yang diletakkan di badan, pakaian ataupun tempat tinggal. Semuanya boleh digunakan melainkan beberapa perkara yang telah ditetapkan haram oleh hukum Islam.

Antaranya haram bagi laki-laki memakai baju yang terbuat daripada sutera asli juga perhiasan daripada emas. Sutera dan emas turut haram dibuat menjadi perhiasan rumah seperti langsir dan pinggan emas.

2. Awas tabarruj

Islam tidak melarang wanita untuk tampil cantik, namun Islam melarang tabarruj. Cantik tidak semestinya tabarruj dan tabarruj tidak semestinya cantik.

Tabarruj adalah perbuatan perempuan yang menampakkan keindahan tubuh, pakaian dan perhiasannya di hadapan laki-laki asing. Perkara ini diharamkan sebagaimana larangan Allah kepada kaum wanita : “Dan janganlah kamu bertabaruj sepertimana tabarruj jahiliah terdahulu”. (al-Ahzab: 33)

Adapun menampakkan kecantikan kepada orang yang halal iaitu suami, maka perbuatan itu bukan tabarruj. Hukum perbuatan ini bukan hanya harus, bahkan sunat.

Seorang isteri boleh bersolek, membentuk rambut, berminyak wangi, memakai baju yang mendedahkan aurat atau apa-apa sahaja yang dapat memuaskan naluri kewanitaannya selagi mana ditujukan hanya untuk suami.

3. Haram meniru lawan jenis

Perbuatan ini disebut juga dengan istilah tasyabbuh. Haram bagi seorang laki-laki memakai pakaian perempuan dan seorang perempuan memakai pakaian laki-laki. Lagi pula, perbuatan tersebut menunjukkan masalah mental yang cukup serius.

Ibnu Abbas meriwayatkan: Rasulullah melaknat perempuan yang meniru laki-laki dan laki-laki yang meniru perempuan. (riwayat al-Bukhari)

Dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji dijelaskan bahawa hukum tasyabuh ini meliputi aspek pakaian, perhiasan, gaya bicara dan cara berjalan.

Masing-masing jantina ada cara dan gaya tersendiri dalam kesemua aspek ini. Maka siapa yang meniru cara dan gaya lawan jenisnya, maka dikira telah melakukan tasyabuh. Dan hukumnya haram.

4. Jangan membazir

Selain itu, salah satu prinsip perbelanjaan terpenting dalam Islam adalah berpada-pada dan jangan membazir. Jika tiada keperluan untuk menukarkan segala kelengkapan rumah menjadi baru, maka tidak perlulah memaksa diri untuk melakukannya.

Hiasi rumah mengikut keperluan dan kemampuan. Selagi mana sesuatu perabot masih boleh digunakan, gunakanlah sebaiknya. Tidak perlu berbelanja besar menukar langsir, sarung kusyen, televisyen baru, sofa baru dan sebagainya.

Islam amat membenci pembaziran dan sangat menggalakkan sedekah. Jika kita memiliki kemampuan yang lebih, eloklah kelebihan dikongsikan dengan golongan yang memerlukan.

Firman Allah: Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya mereka yang membazir itu saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya. (al-Isra': 27) Wallahu a'lam.
 
Sumber: mahligai@yahoogroups.com

Kebersihan Diri

Kesempurnaan agama mencakupi setiap inci kehidupan umatnya. Nilai kebersihan yang diterapkan dalam kehidupan seharian penting untuk diamalkan. Disiplin dalam amalan kebersihan akan mencegah daripada penyakit berbahaya seperti demam denggi dan leptospirosis.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud kebersihan itu sebahagian daripada iman menjelaskan agama Islam sangat menitikberatkan kebersihan.
Selain itu, kepentingan kebersihan di sisi agama Islam boleh dilihat melalui ibadah solat yang meletakkan bersuci sebagai syarat sah ibadah itu. Ini kerana Islam agama fitrah dan fitrah itu sesuatu yang bersih serta suci.

Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya ia tidak akan menjadi beban buat umatku, telah aku arahkan mereka supaya bersugi (memberus gigi) sebelum solat."

Sabda Rasulullah SAW: "Islam itu bersih oleh kerana itu bersihkanlah dirimu, sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang yang bersih."

Kebersihan rohani

Umat Islam bukan saja dididik dengan kebersihan luaran, malah kebersihan dalaman atau kebersihan rohani. Firman Allah SWT: "Dan bersihkanlah pakaianmu dan jauhilah perbuatan yang kotor (dosa)." (Surah al-Muddatsir, ayat 4-5)

Setiap perkara yang kita lakukan adalah biasan atau cerminan daripada dalaman diri. Faktor ini menyebabkan Rasulullah SAW sangat menitikberatkan kebersihan hati iaitu tunjang utama kepada tubuh badan kita.
Umat Islam mesti mengambil berat kebersihan anggota badan, pakaian, tempat tinggal, persekitaran dan apa saja berkaitan kehidupan seharian kita. Hal ini bertepatan firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Menjaga kebersihan satu ibadah dan mendatangkan pahala kerana ia perbuatan yang dicintai Allah SWT. Nabi Muhammad SAW menunjukkan cara menjaga kebersihan merangkumi semua bidang. Anggota luaran diberi perhatian lebih kerana ia membentuk personaliti selain membantu mencegah penyakit.

Saidatina Aishah berkata: "Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak)." (Riwayat Muslim)

Kebersihan mulut, gigi penting

Kebersihan mulut dan gigi juga penting. Profesional menyatakan, kesihatan anggota badan terutama sistem penghadaman bergantung kepada kebersihan mulut dan gigi.

Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya ia tidak akan menjadi beban buat umatku, telah aku arahkan mereka supaya bersugi (memberus gigi) sebelum solat."

Keprihatinan Rasulullah SAW dalam soal kebersihan bukan saja mencakupi soal kebersihan mulut dan gigi, kekemasan rambut dan wajah. Sikap Baginda yang menitikberatkan amalan kebersihan memang tidak ada tolok-bandingnya.

Selain itu, Rasulullah SAW memberi tunjuk ajar cara memotong kuku dan bagi yang mengikut sunnah itu disediakan ganjaran pahala. Amalan ini penting kerana kuku yang panjang mempunyai sejenis kuman seperti terdapat dalam najis manusia iaitu e-coli. Kuman itu tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun.

Kebersihan dalam agama Islam turut meliputi ruang lingkup pemilihan makanan. Firman Allah SWT: "Wahai orang yang beriman! Makanlah dari benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat."

Islam telah menggariskan panduan terbaik buat umatnya dalam soal kebersihan. Bukan garis panduan biasa, malah dibekalkan dengan ganjaran pahala buat umatnya sebagai bekalan akhirat. 


Sumber: kelakar@yahoogroups.com

Friday, June 7, 2013

Al kisah si tukang kebun - Sekadar peringatan utk kita semua...

Di musim cuti ini, Zaman balik ke kampung. Ada timun yang dipetik dari dusun ayahnya untuk dijadikan ulam. Dusun ayahnya besar, ada kebun dan taman bunga. Perlukan beberapa pekerja untuk uruskan dusun seluas ini.

“Pahit timun ini. Pekebun ayah ini tahu tanam ke tak? Ini mesti tanam timun di tanah yang pernah ditanam peria. Ini dah patut kena pecat!” kata Zaman.

Ayah Zaman tidak berkata apa-apa dan teruskan makan.

Selepas makan, Zaman melawat keadaan dusun ayah bersama ayahnya. Selama ini Zaman tak pernah nak masuk kawasan dusun. Kerana timun pahit tadi, Zaman ada niat nak pergi menegur pekebun bodoh ayahnya.

“Hmm… ini pekerja bijak. Tak macam pekerja yang tanam timun pahit itu. Buah mangga ditanam diberi baja ini. Memang manis,” kata Zaman yang menjumpai pokok mangga yang lebat berbuah.

Ayahnya diam tidak berkata apa-apa.

Tiba pula di kawasan durian ditanam. Zaman mengutip sebiji durian untuk dimakan. Isinya nipis dan pahit.

“Ini siapa yang jaga pokok durian? Ayah kena tukar orang ini. Tak pandai langsung,” kata Zaman.

Ayahnya juga diam tidak berkata apa-apa.

Tibalah zaman di taman bunga dalam dusun ayahnya. Tempat itu cantik bagaikan kawasan tinggal bidadari. Bunganya mekar berkembang, landskapnya cukup menarik dan semuanya dijaga rapi.

“Ayah kena ambil lebih ramai pekerja yang jaga taman bunga ini. Pasti satu dusun ayah akan berkembang dengan baik,” kata Zaman.

Ayahnya diam dan senyum saja.

“Tapi ayah, hari ini cuti ke? Tak jumpa pun pekebun-pekebun ayah sepanjang perjalanan tadi. Ini mesti curi tulang. Orang macam ini kena buang ayah, tak boleh biar,” kata Zaman lagi.

Ayahnya masih diam.

Selepas itu, Zaman bersama ayahnya tiba di tasik di tengah dusun. Ada seorang pekerja sedang memancing ikan di tasik – seolah-olah mendapat ikan yang besar dengan cara menarik jorannya.

“Ayah, kalau itu pekerja ayah kena pecat. Waktu kerja memancing. Ini memang pemalas. Kalau pekerja lain ikut cara dia, hangus ayah. Ini dusun kita, kita ada etika, kena ada disiplin, kena ada adab kerja, kena patuh pada tuan,” kata Zaman.

Akhirnya ayahnya bersuara.

“Roy, datang sini sekejap,” ayah memanggil tukang kebunnya Roy datang menghampirinya.

“Tuan dah datang. Tuan, joran tuan masih tersekat sejak semalam, tak dapat tarik lagi. Rasanya tersangkut akar kayu di bawah. Kena ikhtiar cara sebab mata kail itu berharga. Sayang kalau potong terus,” kata Roy.

“Tak apa biar dulu. Ini Zaman. Anak saya. Zaman ini Roy,” kata ayahnya.

“Roy, pokok-pokok timun di atas tanah peria itu memang pahit. Enta betul, tak boleh tanam terus sejurus selepas tanam peria. Betul juga kata Roy, pokok durian yang ditanam di tanah rata isi kulitnya nipis, nasib baik Roy susun balik pokok-pokok lain di kawasan lereng. Taman bunga itu kalau Roy ada masa, cuba buat air terjun buatan di tengah, rasanya lebih menarik,” pesan ayahnya sebelum beredar.

Mendengar penjelasan ayahnya, Zaman terkedu. Tapi beliau diam.

Rupa-rupanya, Roy seorang tukang dusun yang digaji ayah Zaman sejak 4 tahun yang lalu. Kebun ayahnya kini mendapat hasil yang banyak dan disanjung tinggi.

Walaupun hanya dikerjakan seorang, tapi keadaan dusun itu dilihat seperti ramai pekerja yang mengendalikannya.

Tapi Zaman tidak tahu menahu dengan perkara tersebut.

“Orang yang Man puji, kutuk, kritik, dan nak pecat tadi hanyalah Roy seorang. Ayah tak gaji ramai, hanya Roy seorang, sebab dia buat kerja dengan niat bahawa dusun ini milik dia. Jadi dia jaga dengan baik.

Man, menegur ini mudah. Menghina ini tak susah. Tapi sebelum menegur dan menghina, tanyalah diri, sebagai anak ayah, apakah Man pernah bantu usahakan dusun ayah. Masa menegur, Man jangan anggap diri betul dan lebih tinggi darjat Man daripada orang lain.

Sebab mata Man hanya ada dua, yang nampak di depan. Tapi Man terlupa ramai lagi mata memandang kat Man dari keliling yang Man tak nampak. Bahkan tadi, Man terlupa mata ayah dan Allah sedang memandang karenah Man.

Man komen seolah-olah Man sahaja yang tahu jaga dusun ini. Sebenarnya ayah dan Roy juga sama-sama menjaga dusun ini dan sudah berusaha lama sehingga dusun mendapat hasil. Man masuk dusun kali pertama dah pertikai kerja-kerja yang dilakukan Roy dan ayah. Man komen atas perasaan prasangka – dengan mata niat mencari kesalahan selepas termakan timun pahit. Tak baik itu,” tegur ayahnya.

“Ya ayah. Man sedar sekarang. Tak akan buat lagi,” jawab Zaman.

Ayahnya tersenyum dan bertanya, “Sekarang dah tahu keadaan sebenar, nampak tak nilai Roy dari segi usaha dan kerajinannya menjaga dusun ayah seorang diri?”

“Ya. Kerajinan dan kesungguhannya memang luar biasa. Man pun tak dapat tanding kerajinannya,” jawab Zaman.

“Kan bagus pakai cermin mata yang sangka baik, daripada yang sangka buruk?” jawab ayahnya sambil dua-dua tersenyum.

Bila menegur, jangan anggap diri sendiri betul dan seolah-olah pandangan diri sahaja betul dan lebih tinggi daripada orang lain walhal kamu menegur dengan 2 mata di depan, tapi beribu mata di keliling kamu dan Allah sedang memerhatikan kamu.

Tanyalah diri – kamu menegur untuk menghukum macam Zaman ke, menegur untuk membimbing? Buatlah teguran mendidik selalu, teguran menghukum meminta seseorang dipecat macam Zaman cuba elakkan.

Sumber: Tuan Ibrahim Tuan Man, Harakah,04062013

Thursday, June 6, 2013

Perkongsian Ilmu: PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

PENGAJARAN YANG PERLU DI HAYATI
Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.




Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.
01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam.
Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
04.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud.
Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

Wednesday, June 5, 2013

Apabila Motorsikal Menjadi Kenderaan Utama

Assalam sahabat semua...

Menarik tak topik tuh?...masuk hari neh, dah hampir 3 bulan motorsikal menjadi kenderaan utama aku ke pejabat...kenapa aku memilih motor?, kenapa tak teruskan naik kereta?...persoalan yang boleh sama2 kita fikirkan...he he he...

Jom kita sembang pasal kos apabila kita berkelana dengan motor dan kereta...dengan motor, kos seharian ulang alik kerja adalah kira2 RM3, hanya untuk duit minyak...motor apa yg murah sangat minyak tuh ea...he he he...motor biasa2 jek...setakat selesa untuk perjalanan yg sedikit jauh...(*_^)...tapi biasanya aku akan isi selang dua hari, dan aku isi RM7, dan stakat neh tak pernah nak biakan tangki tuh kosong habes...sebagai langkah berjaga2...he he he...so, jumlah semingu aku isi minyak lebih kurang RM14...duit parking pulak, sehari 50 sen jek...lima hari bekerja, jumlah semua RM2.50...so, jumlah perbelanjaan semingu dalam RM16.50...betul kan???...kali ngan empat mingu...lebih kurang tambah tolak RM66 sebulan...(^_^...

Kos kalau kita nek kete plak...dalam semingu, aku akan isi minyak kete dua kali...RM50 setiap kali isi...so, jumlah RM100...duit tol, tol guthrie RM1.40...kali 2 pergi dan balik, RM2.80...tol plus, RM1.90...kali 2 perjalanan pegi dan balik, RM3.80...jumlah tol untuk sehari perjalanan, RM2.80 tambah RM3.80 sama dengan RM6.60 kali lima hari bekerja sama dengan RM33...parking pulak RM8 sehari kali lima hari bekerja sama dengan RM40...so, jumlah kos untuk semingu adalah RM100 tambah RM33 tambah RM40 sama dengan RM173...kali dengan 4 mingu bekerja, RM692...he he he...banyak tak beza dia???...(*_^)...

Cuma, bezenyer bila kita berkelana dengan motor, perlu banyak dan lebih berhati2 lar...lebih2 lagi kalau masa ujan, memang kene extra berhati2...dengan jalan licin, kete banyak, lopak air lagik...kalau dengan kete tak perlu kita alert tuh semua...men langgo jek...he he he...

Selain tuh, motor pon kite kene jaga gak...kalau moto yg aku guna neh, motor lama...so, biasa lar, banyak sikit ragam dia...minyak itam tuka sebulan sekali...maklumlar, perjalanan jauh kan...sebab motor lama gak, banyak lar part yg kene ambik tau, brek depan dah kene tuka, brek belakang nak kene tengok...penyejuk minyak nak kene chek...he he he...tapi, tuh semua utk keselamatan sendiri gak kan...so, tokleh lar berkire sangat...(^_^)...

Ada gak pengalaman menarik dalam 3 bulan pertama neh...ada satu hari tu, hujan sangat lebat kat KL neh...lebat dan lama...dari kul 5 petang sampai kul 7 tak berenti lagi...so, aku redah lar ujan ikut jalan biasa, jalan travers, masuk jalan damansara, turun jalan duta...bila na masuk jalan duta tuh, kete dah banyak berenti...bila aku toleh jalan bertentangan, air dah paras pinggang, penuh atas jalan...yg jalan aku nak lalu neh, jalan duta sebelum sampai simpang nak masuk jalan semantan, air baru nak datang...dia bawak skali ngan lumpur...kete semua dah brenti, memang tokleh lepas kalau air tinggi tuh...yg motor semua, ada yg berani, redah banjir kilat tuh...aku mula was2...tapi bila tengok banyak motor redah, aku nekad lar...dah jadik motor bot motor aku ari tuh...naseb baik exzos motor aku tinggi sikit, so takde lar motor aku mati masa tengah redah banjir tuh...sampai kat simpang jalan semantan tuh, aku masuk jalan semantan sebab aku tengok lepas simpang tuh air makin laju...he he he...pengalaman paling menarik aku setakat neh...(*_^)...

Pengalaman2 len, nanti lain kali kita sembang lg...he he he...moralnya, BERHATI2 DIJALANRAYA TIDAK KIRA SAMAADA ANDA PENUNGGANG MOTORSIKAL ATAUPON PEMANDU KERETA...(^_^)...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Amazon.com