Wednesday, May 15, 2013

Kelebihan Rejab berdasarkan dalil

 
Ulama muktabar sokong kelebihan beramal, tingkat hemah diri sempena bulan mulia
Rejab ertinya mulia kerana bangsa Arab dulu sangat memuliakan bulan ini. Pada 1 Rejab, mereka akan menyembelih unta sebagai korban. Selain itu, pada 27 Rejab jumhur, ulama bersepakat berlaku peristiwa penting dalam hidup Rasulullah SAW iaitu Israk dan Mikraj.

Kita perlu yakin berlakunya peristiwa itu kerana ada dalil qatie dalam al-Quran dan hadis yang menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj. Apabila diteliti kepelbagaian sumber daripada ulama, Rejab ada keistimewaannya tersendiri.

Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis, “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku” disokong oleh ulama muktabar.

Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas seperti direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah. Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.

Matan hadis tak bertentangan nas al-Quran

Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah SWT pada surah al-Taubah, ayat 36, mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW menegaskan Rejab adalah bulan Allah iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban. Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab.

Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri. Hal ini diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab). Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam lain.

Tiada larangan puasa

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa pada bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi, apa yang disunatkan ialah kerana sunnah puasa terbabit.

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi SAW menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu daripadanya.”

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) pada zaman jahiliah. Maka, apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab: “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi: “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulama salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.

Fahami isu, dalil secara menyeluruh

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam supaya kita tidak tersasar daripada landasan yang benar. Dalil yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.

Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita? Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab.

Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita, insya-Allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

Sumber BH Online
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Amazon.com