Monday, August 5, 2013

Tazkirah Ramadhan: Mencari Malam Al-Qadr

ADA satu malam yang kedatangannya sangat dinantikan oleh umat Islam pada setiap bulan Ramadan. Malam itu disebut Lailatulqadar.

Al-Quran menyebutnya sebagai malam yang penuh berkat (al-Dukhan: 3) dan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan (al-Qadr: 3). 
Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. 
Biasanya, dalam menanti malam tersebut, umat Islam melakukan ibadat seperti solat malam atau membaca al-Quran untuk memperoleh Lailatulqadar.
Memperoleh Lailatulqadar
Mendapatkan Lailatulqadar merupakan pengalaman kerohanian dan individual.
Ulama mengatakan bahawa tidak semua orang berjaya mendapatkan malam 1,000 bulan ini. Dengan kata lain, Lailatulqadar tidak boleh ditemui begitu sahaja iaitu dengan hanya berjaga pada malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan.
Ini kerana berjumpa dengan Lailatulqadar merupakan kemuncak prestasi dari segi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan kerohanian sepanjang bulan Ramadan.
Nisfu Syaaban
Sebahagian ulama percaya bahawa malam Lailatulqadar tidak hanya ada pada bulan Ramadan tetapi juga pada bulan Syaaban.
Menurut mereka, Lailatulqadar turun pada malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban). Malam yang juga biasa dirayakan oleh kebanyakan umat Islam di seluruh dunia.
Pada malam itu turun beberapa kebaikan daripada Allah SWT seperti syafaat, keampunan dan pembebasan daripada azab. 
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tatkala datang malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memberikan keampunan-Nya kepada penghuni bumi, kecuali bagi orang yang syirik dan berpaling daripada-Nya." (Riwayat Ahmad)
Waktu Lailatulqadar
Kebanyakan ulama dan orang Islam percaya bahawa Lailatulqadar berlaku pada bulan Ramadan, khususnya dalam 10 malam terakhir pada bulan ini. Tidak seorang pun yang tahu bila sebenarnya Lailatulqadar akan berlaku.
Namun, daripada beberapa riwayat diketahui bahawa Nabi Muhammad SAW memberikan beberapa tanda mengenai akan terjadinya malam penuh berkat itu. Seperti adanya hawa yang sejuk, suasana damai dan cuaca cerah.
Lailatulqadar dalam al-Quran
Al-Quran menyebut tentang Lailatulqadar dalam surah al-Dukhan ayat 3-4 dan surah al-Qadr ayat 1-5. Dalam surah al-Dukhan, al-Quran menggunakan istilah malam yang penuh berkat, malam ketika semua urusan manusia seperti hidup, mati, rezeki dan musibah dijelaskan Allah SWT dengan penuh hikmah. 
Sementara dalam surah al-Qadr pula Allah SWT menyebut Lailatulqadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam ketika Jibril dan para malaikat lain turun ke bumi dan malam yang penuh kesejahteraan hingga ke pagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Amazon.com