ALANGKAH
bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman
kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat
berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda, dapat melihat
wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila
menghadapi sesuatu masalah. Zaman Baginda itu adalah satu masa yang
sangat hebat kerana dapat melahirkan generasi individu Muslim yang
unggul dalam segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada
Allah sebagai sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan
yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah.
Inilah
generasi yang telah dicatat dalam lembaran sejarah kerana membantu
Baginda menundukkan dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi
yang mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun kehebatan
individu di kalangan Sahabat Rasulullah terdapat pada diri mereka akhlak
mulia mampu menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.
Mereka
mencipta nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan Islam
dengan menyebar-luaskan ajaran Baginda Rasulullah SAW sesuai dengan
pegangan mereka kepada agama Islam yang membawa maksud kesejahteraan,
keharmonian, kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk umat manusia
sejagat.
Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para Sahabat?
Tidak
dinafikan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad, di antara mereka ada
yang diberikan nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan menggunakan
nama Para Sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar, Uthman, Ali,
Ubadillah, Salman, Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya.
Tetapi apakah nama-nama tersebut benar-benar meresap masuk dalam
sanubari kita hingga mencontohi Para Sahabat dalam mendepani segenap isu
agama.
Alangkah
malangnya segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula menamakan
anak-anak mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak memberi makna
langsung berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang disebutkan di
atas tidak lagi menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah
kita mencari kekurangannya.
Malah
Islam hanya tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup
tidak melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara
berpakaian, penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga,
cara berfikir, cara mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu
macam karenah lagi tidak menampakkan diri mereka persis individu Muslim
yang beramal dengan ajaran Islam sebenar.
Inilah
yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu,
seolah-olah ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda sentiasa
menerima wahyu daripada Allah Taala, sudah tentu Dia mengetahui
segala-galanya kerana ia di bawah kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah
sabda Nabi SAW yang bermaksud, daripada Ali bin Abi Talib RA berkata:
“Telah
bersabda Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di mana
tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak
tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid
mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka
adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit.
Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan
kembali”. (Hadis riwayat Al Baihaqi)
Kalau
kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh
daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Kalau
belum sampai pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang Baginda
sebutkan dalam hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu persatu
untuk melihat sejauh mana kebenaran kenyataan baginda itu.
1. Islam hanya tinggal namanya sahaja.
2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.
3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
Islam hanya tinggal namanya sahaja
Kelak
akan banyak orang yang mengaku beragama Islam namun perbuatan
sehariannya tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya
namanya sahaja Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan tertentu.
Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat.
Solat
mengikut ‘mood’, ada seminggu sekali, ada sebulan sekali, setahun
sekali dan ada yang tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya pula
enggan membayar zakat, yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’ namun
masih lagi melepak di kedai judi dan menghabiskan masa.
Ramai
yang bercakap tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai
berpidato agar orang percaya dia seorang Islam yang baik dan
memperjuangkan Islam, sehingga ada yang mengubah halal menjadi haram dan
haram menjadi halal, bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan dengan
zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan nas.
Sebenarnya
orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang munafik
sebagaimana Sahabat Nabi yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa itu
nifak? Beliau menjawab:
“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”. (Masnad ar-Rabi’)
Al Quran hanya tinggal tulisannya
Dalam
banyak hadis Rasulullah SAW, Baginda menganjurkan kita umatnya agar
membudayakan pembacaan Al Quran, ia bukan sekadar penawar kepada
pelbagai penyakit yang sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai
penyembur kepada hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit dntakan
dunia secara berlebihan.
Tujuan
Al Quran diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal aqidah,
iman, beribadah kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi
kandungannya, diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi rujukan
dalam segenap masalah yang dihadapi oleh manusia, dan yang paling utama
ialah melaksanakan hukum, undang-undang dan perintah Allah yang ada di
dalamnya.
Apa
yang mendukacitakan kita pada hari ini, Al Quran dijadikan bahan untuk
musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan Al
Quran di dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai
walaupun sudah merdeka lebih setengah abad, orang-orang Islam yang
melakukan jenayah tidak dihukum dengan undang-undang hudud atau qisas di
dunia ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi bahawa Al Quran hanya tinggal
tulisannya untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.
Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah
Inilah
kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah SAW bahawa masjid-masjid umatnya
pada akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi pengisian di
dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat
menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripada pengunjungnya.
Terdapat
masjid yang membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan
penyelenggaraan mencecah nilai ringgit yang cukup tinggi, namun
kadang-kadang apa yang menduka-citakan kelas pengajian pun tidak ada,
ada yang diisi dengan kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak
memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan. Malah ada pula masjid
dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai masjid yang paling cantik
dan bersih.
Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada bercakap tentang Islam
Tidak
dinafikan juga wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani untuk
menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim seperti yang
disabdakan oleh Baginda, justeru itulah yang diingatkan oleh Baginda
dalam hadisnya di atas. Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin
Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat 176 surah Al
‘Araf.
“Dan
kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab
mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada
dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti
anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya
termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan
lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya
mereka berfikir”.
Menurut
Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Imam Ibni Khathir, Imam Tabari dan ramai
mufassirin bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki
dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain
menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan
doa dari bangsa Bani Israel.
Menurut
cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim
bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am
rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar [ Do'a Bal'am bin
Ba'ura mustajab]. Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi
Musa A.S dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan
hampir sampai dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut
ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah
berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan
penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta
pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya [berdo'a] untuk
mengalahkan Nabi Musa AS.
Pada
mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah
isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti
biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa
isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan.
Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh
Raja”.
Bal’am
dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan
kepada Nabi Musa AS, doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa
tersesat di satu tempat yang bernama Teh (sekarang : semenanjung Sinai)
selama 40 tahun.
Kesesatan
yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai
Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di ladang
Teh ini?”.
Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”
Nabi
Musa berkata lagi kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu
mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap
Bal’am”.
Lalu,
Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi
Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan
kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.
“Minta
berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin
Ba’ura’”. Wallahua’lam (Kisah ini isra’iliyyat yang wajar dijadikan
pengajaran kepada kita).
Kepentingan
dunia kerana mahu mengejar pangkat dan populariti menguasai hidup
mereka hingga ada yang berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah,
menyembunyikan kebenaran kerana takut keduniaannya tersekat dan periuk
nasinya terjejas hingga sanggup menggadai prinsip-prinsip agama, dalam
hal ini, siapa yang makan cili maka dialah yang merasa bahang pedasnya.
Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat
Fitnah
terhadap Islam sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir oleh
individu Muslim yang baik di sisi Allah. Industri hiburan yang
melibatkan artis-artis beragama Islam hingga ke peringkat paling seksi
menjadi juadah mata pada hari ini, perkara ini berlaku adalah kerana
ulama-ulama yang jahat mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut
segala kemudahan yang dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada
diri umat Islam bukan menjadi perkiraan hidup.