Allah SWT menetapkan Ramadan sebagai bulan khusus untuk umat Islam
menjalani proses penyucian diri, membuang tabiat buruk, memperelok dan
membangunkan akhlak yang baru. Selari program suci ini, Allah SWT mengerahkan
umat Islam melaksanakan ibadah puasa sebulan. Malaikat juga turun ke dunia
untuk bersama umat Islam di seluruh pelusuk dunia meraikan malam Ramadan penuh
keberkatan. Umat nabi terdahulu mendapat manfaat besar mengamalkan ibadah puasa
ini.
Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu, hari Jumaat hingga Jumaat (yang
berikutnya), bulan Ramadan hingga Ramadan (tahun berikutnya) adalah
mengkafarahkan (menghapuskan) apa yang di antaranya selagi mana dijauhkan dosa
besar”. - (Riwayat Muslim)
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183, telah mewajibkan
puasa kepada umat Nabi Muhammad SAW seperti mana diwajibkan kepada umat nabi
terdahulu bagi membentuk insan bertakwa.
Menurut rumusan perbahasan ulama, takwa secara mudahnya bermaksud
beristiqamah mematuhi perintah Allah, sentiasa berada dalam lingkungan hidup
dicintai Allah dan menjauhkan diri daripada perkara yang menimbulkan
kemurkaan-Nya.
Persoalan besar timbul ialah apakah kita mampu mencapai takwa
sepanjang Ramadan? Siapakah sanggup melakukan hal itu penuh disiplin sepanjang
Ramadan dan berkekalan di bulan berikutnya? Walaupun sukar mendapat ketakwaan
seratus peratus, kita perlu berusaha mencapainya.
Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat Islam sabdanya:
“Betapa ramai umat Islam berpuasa, tetapi tidak mendapat pahala dari puasanya
kecuali rasa lapar dan dahaga.” (Riwayat Tabarani dan Ibn Majah)
Pada prinsipnya, berdasarkan perbahasan ulama, rupa bentuk puasa
yang sempurna mengikut standard piawaian ditetapkan ialah puasa bukan saja menahan
makan, minum dan tidak melakukan hubungan seks pada siang hari.
Tetapi memfokuskan seluruh anggota badan turut berpuasa dengan
cara bersabar mengawal nafsu, emosi, perasaan, dan pemikiran daripada perkara
haram, berdosa atau perbuatan tidak bermoral.
Siang dan malam Ramadan dipenuhi keberkatan. Oleh itu, ibadah lain
memberi nilai tambah memperkukuhkan kualiti puasa ialah membaca dan memahami
al-Quran, bersedekah, solat tarawih, tahajud, berzikir dan banyak berdoa pada
waktu malam.
Pentingnya takwa dalam kehidupan dunia dan akhirat, mari hayati
firman Allah SWAT: “Wahai orang beriman bertakwalah kepada Allah dengan
sebenar-benar takwa kepada-Nya dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam
keadaan beragama Islam.” (Surah Ali-Imran, ayat 102)
Sumber: Yahoogroups